KEM BESTARI SOLAT SIRI 1/2026
Tarikh: 13 Jun 2026 (Sabtu)
Masa: 7.30 pagi – 12.30 tengah hari
Tempat: SK Gesir Tengah
Sasaran: Semua murid Tahun 1 hingga Tahun 6
13 Jun 2026 - SK Gesir Tengah telah menganjurkan Kem Bestari Solat Siri 1/2026 yang melibatkan semua murid Tahun 1 hingga Tahun 6. Program ini bertujuan memupuk penghayatan ibadah solat dalam kalangan murid serta meningkatkan kefahaman dan kemahiran amali berkaitan solat sebagai asas kejayaan dan panduan kehidupan.
Program bermula dengan sesi pendaftaran dan pembahagian kumpulan di dewan sekolah. Sepanjang program, murid telah mengikuti pelbagai aktiviti berbentuk teori dan amali mengikut tahap masing-masing. Antara pengisian utama ialah pengajaran dan latihan amali wuduk, latihan tubi solat, perbincangan dalam kumpulan serta aktiviti pengukuhan berkaitan ibadah solat.
Murid Tahap 1 turut mengikuti tayangan video pendidikan yang berkaitan dengan ibadah solat, manakala murid Tahap 2 melaksanakan amali Solat Dhuha yang dipimpin oleh guru-guru. Program diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah dan sesi bergambar sebagai penghargaan kepada peserta yang menunjukkan komitmen dan penglibatan aktif sepanjang kem berlangsung.
Diharapkan program ini dapat membantu murid membentuk amalan solat yang sempurna serta menghayati kepentingan solat dalam kehidupan seharian, selaras dengan tema program “Solat Asas Kejayaan, Panduan Kehidupan.”
“Dirikanlah solat kerana solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.”
(Surah Al-Ankabut: 45)
