SELAMAT MAJU JAYA, CIKGU MOHAMAD IZZAT BIN MARZUKI
Warga Sekolah Kebangsaan Gesir Tengah (SKGT) telah mengadakan dua majlis perpisahan bagi meraikan Cikgu Mohamad Izzat bin Marzuki yang telah menerima pertukaran ke SK Bukit Gelugor, Pulau Pinang, berkuat kuasa pada 28 September 2026. Beliau dijadualkan memulakan tugas di sekolah baharu pada 2 Oktober 2026.
Majlis perpisahan bersama barisan guru dan AKP telah diadakan pada 29 September 2026 bertempat di Ikiyo Cheruk Kampung, Gesir Tengah dalam suasana penuh kemesraan dan kenangan.
Seterusnya, majlis perpisahan bersama murid-murid telah berlangsung pada 30 September 2026 di Dewan SK Gesir Tengah. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pegawai Angkat Sekolah, En. Mohd Azam bin Muhamed Nasir yang turut menyampaikan hadiah penghargaan kepada Cikgu Izzat.
Majlis diserikan lagi dengan penyampaian pelbagai hadiah dan cenderamata daripada wakil Kelab Guru dan Kakitangan (KGKT), guru-guru, murid-murid serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebagai tanda penghargaan dan ingatan atas segala jasa serta sumbangan beliau. Lebih bermakna, murid-murid dan guru-guru turut membuat persembahan istimewa sebagai tanda kasih dan penghargaan buat Cikgu Izzat.
Sepanjang tempoh perkhidmatan di SK Gesir Tengah sejak 25 Julai 2022, Cikgu Izzat telah banyak menyumbang tenaga, masa dan komitmen dalam pelbagai aktiviti sekolah, khususnya dalam bidang sukan dan kokurikulum. Beliau merupakan antara tonggak utama aktiviti kesukanan sekolah serta jurulatih yang banyak membimbing dan mencungkil bakat murid dalam bidang sukan.
Pemergian beliau pastinya dirasai oleh seluruh warga sekolah. Sumbangan, dedikasi dan semangat beliau dalam menggerakkan aktiviti sukan sekolah akan sentiasa dikenang dan menjadi sebahagian daripada kenangan manis keluarga besar SEGEST.
Seluruh warga SK Gesir Tengah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas segala jasa serta khidmat bakti yang telah dicurahkan.
Selamat maju jaya di tempat baharu, Cikgu Izzat. Semoga terus diberikan kesihatan, dipermudahkan segala urusan dan terus melakar kecemerlangan dalam dunia pendidikan.
Jasamu dikenang, budimu disanjung. Sekali menjadi keluarga SEGEST, selamanya terpahat dalam ingatan.







