Kunjung Bantu dan Khidmat Bimbingan Sektor Pembangunan Murid PPD Hulu Selangor
GESIR TENGAH, 6 Oktober 2026 – Sekolah Kebangsaan Gesir Tengah (SEGEST) telah menerima kunjungan daripada Sektor Pembangunan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Selangor dalam satu sesi Kunjung Bantu dan Khidmat Bimbingan yang berlangsung pada hari Selasa, 6 Oktober 2026.
KUNJUNG BIMBING UPBM & HEM
Kunjungan tersebut diketuai oleh En. Azrul Hisham bin Hamzah, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pembangunan Murid, bersama En. Mohd Saiful Ridzuan bin Abd Manaf, Penolong PPD Pembangunan Bakat Murid, En. Radzwan Shah bin Razali, Penolong PPD HEM dan Pn. Norhayati binti Mohd Isa, Penolong PPD HEM.
Sesi kunjung bantu ini bertujuan untuk memberikan bimbingan dan sokongan kepada pihak sekolah dalam mengenal pasti situasi semasa serta ruang penambahbaikan dalam aspek pembangunan murid. Sesi turut memberi penekanan kepada penggunaan pendekatan GROW, iaitu Goal, Reality, Options dan Will sebagai panduan dalam proses mengenal pasti matlamat, menilai realiti semasa, meneroka pilihan serta menentukan tindakan yang perlu dilaksanakan.
Perbincangan yang berlangsung secara dua hala memberikan peluang kepada pihak sekolah untuk mendapatkan pandangan, cadangan dan bimbingan daripada pihak PPD bagi memperkukuh perancangan serta tindakan susulan yang bersesuaian.
Pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Sektor Pembangunan Murid, PPD Hulu Selangor atas kunjungan, khidmat bantu, bimbingan dan perkongsian yang diberikan.
Semoga kunjung bantu ini menjadi pemangkin kepada usaha berterusan pihak sekolah dalam memperkasa pembangunan murid serta meningkatkan kualiti pengurusan sekolah.
SEGESTerbaik! Terus Melangkah, Terus Gemilang.
