KEJOHANAN SUKAN OLAHRAGA SK GESIR TENGAH KALI KE-50 TAHUN 2026

KEJOHANAN SUKAN OLAHRAGA SK GESIR TENGAH KALI KE-50 TAHUN 2026


KEJOHANAN SUKAN OLAHRAGA TAHUNAN KALI KE-50 SK GESIR TENGAH 2026 BERLANGSUNG MERIAH

Gesir Tengah, 9 Mei 2026 – Sekolah Kebangsaan Gesir Tengah telah berjaya menganjurkan Kejohanan Sukan Olahraga Tahunan Kali Ke-50 Tahun 2026 pada Sabtu, 9 Mei 2026, bermula dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari di Padang SK Gesir Tengah.

Kejohanan yang penuh gilang-gemilang ini telah menghimpunkan murid-murid, guru-guru, ibu bapa serta komuniti setempat dalam suasana yang meriah dan penuh semangat kesukanan. Program ini bertujuan mencungkil bakat murid dalam bidang sukan di samping memupuk nilai kerjasama, disiplin, daya saing yang sihat serta semangat berpasukan.

Majlis perasmian kejohanan telah disempurnakan oleh Datuk Haji Azizulkhir bin Haji Abdul Wahab, Pengarah Saga Tunas Sdn. Bhd.  sebagai wakil kepada perasmi, Yang Berbahagia Datuk Mohd Isa bin Abu Kassim, Penyelaras DUN Hulu Bernam.

Turut hadir memeriahkan kejohanan ialah En. Mohd Azam bin Muhamed Nasir, Pegawai Angkat Sekolah merangkap Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Unit Prasekolah dan Rendah, serta ketua-ketua komuniti setempat dari Kampung Gesir Tengah dan Kampung Lalang/Gesir Ulu, selain penduduk sekitar yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada sekolah.

Pelbagai acara balapan dan padang telah dipertandingkan sepanjang kejohanan. Antara acara yang paling mendapat perhatian ialah Acara Jemputan Lari Berganti-ganti 4 x 100 Meter Campuran, yang disertai oleh pasukan dari SK Sungai Selisek dan SK Sungai Tengi. Acara ini telah menambahkan kemeriahan kejohanan dan mengeratkan hubungan silaturahim antara sekolah-sekolah sekitar.

Kejohanan Sukan Olahraga Tahunan Kali Ke-50 ini bukan sahaja menjadi platform untuk melahirkan atlet-atlet muda yang berpotensi, malah berjaya menyemarakkan semangat kesukanan, perpaduan dan kerjasama dalam kalangan warga sekolah serta komuniti setempat.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua murid, guru, ibu bapa, jawatankuasa pelaksana dan pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan kejohanan ini. Semoga kejayaan penganjuran kali ini menjadi pemangkin kepada kecemerlangan sukan SK Gesir Tengah pada masa hadapan.


BUKU PROGRAM KEJOHANAN SUKAN OLAHRAGA SEGEST 2026

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama