MINGGU PATRIOTIK SEGEST 2026: MENYEMAI SEMANGAT CINTA AKAN NEGARA
Tarikh: 14–18 September 2026
Sekolah Kebangsaan Gesir Tengah (SKGT) telah menganjurkan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia melalui pelaksanaan Minggu Patriotik SEGEST 2026 yang berlangsung dari 14 hingga 18 September 2026.
Program anjuran Unit Kokurikulum bersama Pusat Sumber Sekolah (PSS) ini dilaksanakan dengan kerjasama Panitia Sejarah, Panitia Pendidikan Muzik, Panitia Pendidikan Seni Visual, Panitia Reka Bentuk dan Teknologi, Panitia Pendidikan Jasmani dan Kesihatan serta Kelab Rukun Negara.
Pelbagai aktiviti menarik telah dirancang bagi menyemai semangat patriotisme, meningkatkan pengetahuan murid tentang sejarah kemerdekaan negara serta memupuk perpaduan dan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk pertandingan mewarna dan melukis poster kemerdekaan, senamrobik Merdeka, pembinaan rumah tradisional, pameran Merdeka, lawatan ke Laluan Sejarah, tayangan video kemerdekaan serta pelbagai pertandingan bertemakan patriotisme seperti nyanyian lagu patriotik, sajak, laungan Rukun Negara dan persembahan berkumpulan.
MAJLIS PENUTUPAN BULAN KEBANGSAAN
Kemuncak sambutan ialah Majlis Penutupan Bulan Kebangsaan (Minggu Patriotik) yang telah berlangsung pada 18 September 2026 (Jumaat), dari pukul 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari bertempat di Dewan SK Gesir Tengah.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan ucapan Guru Besar, diikuti persembahan murid prasekolah, persembahan para pemenang pertandingan serta penyampaian hadiah kepada murid-murid yang berjaya dalam pelbagai acara yang dipertandingkan.
Majlis turut diserikan dengan persembahan sajak, lafaz Rukun Negara, nyanyian duo dan persembahan berkumpulan. Penyampaian hadiah bagi pertandingan yang dianjurkan oleh panitia dan Kelab Rukun Negara turut menjadi antara pengisian utama majlis penutup ini.
Penganjuran Minggu Patriotik ini diharapkan dapat menyemai semangat cinta akan negara, menghargai pengorbanan generasi terdahulu serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan warga sekolah.
Pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada barisan pentadbir, guru-guru, Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) serta semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan komitmen dalam menjayakan program ini.
Semoga semangat patriotisme, perpaduan dan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia terus subur dalam jiwa setiap warga SEGEST.
SEGEST Gemilang Terbilang, SEGESTerbaik!
![]() |
| Kuih Tradisional (Pameran Bertema) |
![]() |
| Hiasan Kelas |

Kuih Tradisional (Pameran Bertema) 
Hiasan Kelas











